AYER KEROH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyalah guna kuasa melantik anak perempuannya bekerja di agensi berkenaan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Amir Ali, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elasabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu CEO telah menggunakan jawatan melantik anak perempuannya sebagai Pegawai Kewangan W41 di syarikat berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam, Jasin pada 1 April 2021 lalu.

Justeru tertuduh yang kini bertugas sebagai pegawai kebudayaan di sebuah universiti tempatan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM7,000 hingga RM15,000 serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan dia menanggung sembilan anak dan seorang isteri yang menghidap penyakit kencing manis.

Hakim pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin jaminan RM7,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.